Definisi bahasa
Bahasa adalah anugerah Allah yang
digunakan untuk tujuan berinteraksi sesama sendiri. Allah telah mengurniakan
kepada Nabi Sulaiman keistimewaan memahami bahasa haiwan. Ini membuktikan
bahawa haiwan juga mempunyai bentuk bahasa bagi tujuan berkomunikasi dan
memahami sesama mereka. Sebagai manusia yang dilantik oleh Allah sebagai
khalifah di muka bumi ini manusia juga mempunyai kemampuan menguasai bahasa
dengan baik. Manusia menggunakan bahasa untuk menyampaikan pendapat, idea,
perasaan dan rasa tidak puas hati melalui bahasa.
Tokoh-tokoh
bahasa dan linguistik telah memberikan berbagai-bagai definisi bahasa.
Antaranya adalah seperti berikut:
“ Bahasa adalah
lambang-lambang yang kita jadikan sebagai simbol-simbol khusus untuk mewakili
sesuatu.” ( Reed, C.A., 1994)
“ Satu struktur yang unik daripada bunyi-bunyi dan
ucapan yang dipilih dan disusun secara sewenang-wenangnya (arbitrary) untuk
dipakai oleh sesuatu masyarakat untuk berhubung.” (Simanjuntak, 1978)
“ Lambang-lambang pertuturan yang dikeluarkan secara
sewenang-wenangnya dan dipersetujui dan digunakan untuk berkomunikasi.”
(Bloom,1988)
Berdasarkan definisi bahasa di atas,
jelas kepada kita bahawa bahasa terdiri daripada lambang-lambang pertuturan yang
dikeluarkan secara sewenang-wenangnya (arbitrari). Menurut Hayakawa (1964),
arbitrari bermaksud sebagai “ no necessary connection between the symbol and
which is symbolized...”
Bagi menjelaskan lagi maksud
sewenang-wenangnya atau arbitrari ini, Asmah Hj. Omar (1986) menerangkan bahawa
unit yang kita tuturkan sebagai “ rumah” itu bukanlah benda konkrit yang
mempunyai bumbung, lantai, dinding, tingkap, dan pintu yang menjadi tempat kita
berteduh, tetapi adalah apa yang mewakili benda itu. Ini bererti, benda-benda
konkrit yang mempunyai ciri-ciri yang disebut itu boleh mempunyai
lambang-lambang lain. Misalnya ‘bait’ (bahasa Arab) , ‘house’ (bahasa Inggeris)
, ‘het huis’ (bahasa Belanda) , ‘griya’ (bahasa Jawa halus) , dan ‘walay’
(bahasa Kadazan) dan seumpamanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.