STATISTIK tahun 1997 menunjukkan purata rakyat Malaysia hanya membaca
sehelai muka surat buku dalam setahun. Pada tahun 2002 pula, statistik itu
dikatakan ‘meningkat’ kepada dua muka surat setahun. Manakala kajian profil membaca
pada tahun 2005 oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati bahawa
kalangan rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku sepanjang tahun. Purata
dua naskhah buku yang dibaca dalam tempoh setahun itu pula adalah bahan bacaan
santai berupa komik, majalah dan akhbar. Statistik ini jelas menunjukkan dalam
tempoh 1996 – 2005, tidak banyak perubahan yang berlaku terhadap kecenderungan
membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Perangkaan tahun 2005 mendapati hanya
10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun, berbanding 180,000
judul di China, 116,000 judul di United Kingdom, 60,000 judul di Amerika
Syarikat dan 45,000 judul di India.