Saturday 24 November 2012

PENGERTIAN & DEFINISI BAHASA.


Definisi bahasa
Bahasa adalah anugerah Allah yang digunakan untuk tujuan berinteraksi sesama sendiri. Allah telah mengurniakan kepada Nabi Sulaiman keistimewaan memahami bahasa haiwan. Ini membuktikan bahawa haiwan juga mempunyai bentuk bahasa bagi tujuan berkomunikasi dan memahami sesama mereka. Sebagai manusia yang dilantik oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi ini manusia juga mempunyai kemampuan menguasai bahasa dengan baik. Manusia menggunakan bahasa untuk menyampaikan pendapat, idea, perasaan dan rasa tidak puas hati melalui bahasa.
 Tokoh-tokoh bahasa dan linguistik telah memberikan berbagai-bagai definisi bahasa. Antaranya adalah seperti berikut:
 “ Bahasa adalah lambang-lambang yang kita jadikan sebagai simbol-simbol khusus untuk mewakili sesuatu.” ( Reed, C.A., 1994)
“ Satu struktur yang unik daripada bunyi-bunyi dan ucapan yang dipilih dan disusun secara sewenang-wenangnya (arbitrary) untuk dipakai oleh sesuatu masyarakat untuk berhubung.” (Simanjuntak, 1978)
“ Lambang-lambang pertuturan yang dikeluarkan secara sewenang-wenangnya dan dipersetujui dan digunakan untuk berkomunikasi.” (Bloom,1988)
Berdasarkan definisi bahasa di atas, jelas kepada kita bahawa bahasa terdiri daripada lambang-lambang pertuturan yang dikeluarkan secara sewenang-wenangnya (arbitrari). Menurut Hayakawa (1964), arbitrari bermaksud sebagai “ no necessary connection between the symbol and which is symbolized...”
Bagi menjelaskan lagi maksud sewenang-wenangnya atau arbitrari ini, Asmah Hj. Omar (1986) menerangkan bahawa unit yang kita tuturkan sebagai “ rumah” itu bukanlah benda konkrit yang mempunyai bumbung, lantai, dinding, tingkap, dan pintu yang menjadi tempat kita berteduh, tetapi adalah apa yang mewakili benda itu. Ini bererti, benda-benda konkrit yang mempunyai ciri-ciri yang disebut itu boleh mempunyai lambang-lambang lain. Misalnya ‘bait’ (bahasa Arab) , ‘house’ (bahasa Inggeris) , ‘het huis’ (bahasa Belanda) , ‘griya’ (bahasa Jawa halus) , dan ‘walay’ (bahasa Kadazan)  dan seumpamanya.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.